Moments in Life

There are moments in life when you miss someone
so much that you just want to pick them from
your dreams and hug them for real!

When the door of happiness closes, another opens;
but often times we look so long at the
closed door that we don't see the one,
which has been opened for us.

Don't go for looks; they can deceive.
Don't go for wealth; even that fades away.
Go for someone who makes you smile,
because it takes only a smile to
make a dark day seem bright.
Find the one that makes your heart smile.

Dream what you want to dream;
go where you want to go;
be what you want to be,
because you have only one life
and one chance to do all the things
you want to do.

May you have enough happiness to make you sweet,
enough trials to make you strong,
enough sorrow to keep you human and
enough hope to make you happy.

The happiest of people don't necessarily
have the best of everything;
they just make the most of
everything that comes along their way.

The brightest future will always
be based on a forgotten past;
you can't go forward in life until
you let go of your past failures and heartaches.

When you were born, you were crying
and everyone around you was smiling.
Live your life so at the end,
you're the one who is smiling and everyone
around you is crying.

Don't count the years-count the memories...........

Ketabahan Angkat Martabat Bangsa

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita dan Pemuda Umno mahu kesetiaan dan ketabahan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba, dalam berjuang mengangkat martabat bangsa, agama dan negara dikenang dan diteladani generasi muda.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata golongan muda perlu belajar daripada ketabahan dan pengorbanan yang dicurahkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Kita rasa begitu kehilangan kerana walau terpaksa melalui pelbagai dugaan dan ujian, Allahyarham adalah pejuang yang tidak pernah putus asa dan sentiasa meletakkan perjuangan parti dan bangsanya di peringkat paling utama.

“Ini menjadi satu contoh dan teladan bagi generasi akan datang,” katanya ketika diminta mengulas pemergian Tun Ghafar ke rahmatullah, semalam.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sumbangan Allahyarham tidak akan dilupakan kerana beliau melakukan semuanya bukan untuk diri sendiri tetapi untuk generasi hari ini.

“Tidak mungkin kita akan berada dalam keadaan sekarang jika tidak ada pejuang seperti Allahyarham Tun Ghafar.

“Bagi semua dalam sayap Pemuda, kami berasa kehilangannya dan mendoakan agar rohnya diberkati Allah. Kami juga mengucapkan takziah kepada anggota keluarganya dan berharap mereka bersabar menempuh dugaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata pemergian Allahyarham ialah satu kehilangan besar kepada negara dan parti.

Katanya, perjuangan Allahyarham terlalu besar dan perlu diingati generasi muda.

“Orang muda perlu ingat perjuangannya, Allahyarham adalah tokoh politik sepenuh masa sejak berusia 20-an. Oleh itu, media perlu laporkan sejarah perjuangan tokoh seperti ini,” katanya.

Rafidah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, beliau mengenali Allahyarham sejak 1966 dan menghormatinya.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula berkata, banyak aspek perjuangan Allahyarham boleh diteladani generasi muda, yang memperjuangkan agenda Melayu daripada zaman sebelum merdeka sehingga tamat karier politiknya sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri.

“Semangat perjuangan untuk bangsa adalah satu perkara yang saya harap dapat diteruskan Pemuda supaya kita dapat mencontohi semangat perjuangan bangsa yang dimiliki Allahyarham,” katanya.


Ghafar Negarawan Tulen

Source: UMNO website

KUALA LUMPUR: Sewaktu zaman kanak-kanaknya, beliau sering menyelongkar untuk mencari makanan kerana keluarganya amat daif. Bagi membiayai persekolahan dan membantu meringankan beban keluarga, beliau menjadi kedi golf walaupun upahnya hanya beberapa puluh sen.

Kebiasaannya seseorang itu akan sedikit ego apabila nasib hidupnya berubah, apalagi seperti Abdul Ghafar Baba yang kemudian memegang pelbagai jawatan kanan di bawah pentadbiran empat Perdana Menteri – sebagai Ketua Menteri Melaka, Ahli Parlimen, Menteri Kabinet dan terakhir, Timbalan Perdana Menteri.

Namun, Tun Abdul Ghafar Baba kekal sebagai Abdul Ghafar Baba - manusia biasa dan sederhana; yang datang dari kalangan rakyat biasa; tidak cerewet dan sentiasa merendah diri; pejuang bangsa dan pahlawan negara sehingga ke akhir hayat.

Memang tidak dinafikan bahawa Allahyarham tidak sempurna. Tetapi siapa di antara kita yang boleh mengakui serba sempurna? Hakikatnya Ghafar adalah gergasi di kalangan manusia yang ada.

Beliau tidak dilahirkan dalam kemewahan tetapi itu tidak pernah menghalangnya daripada berusaha untuk mengeluarkan dirinya daripada belenggu kemiskinan dan menjadi guru berkelulusan Maktab Perguruan Sultan Idris, institusi perguruan terunggul ketika itu.

Berapa ramai anak miskin pada zaman beliau yang bernasib baik untuk bersekolah, apa lagi ke universiti?

Pada usia 15 tahun, beliau sudah mempunyai kesedaran betapa pentingnya rakyat Malaya bebas daripada penjajahan. Beliau adalah pejuang kemerdekaan sebaris dengan Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun H S Lee, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V T Sambanthan serta ramai lagi wira yang tidak didendang.

Pemergian beliau pagi semalam menandakan berakhirnya satu lagi era – tamatnya era kehidupan pejuang kemerdekaan barisan hadapan.

Banyak lagi perkara yang saya boleh katakan mengenai Tun Abdul Ghafar Baba.

Saya pernah berkhidmat dengannya sebagai setiausaha akhbar untuk tempoh singkat ketika Allahyarham menjadi Timbalan Perdana Menteri dan perhubungan dengan beliau dan keluarga terus terjalin sehingga kini.

Dua malam lalu, ketika berdiri di luar Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Gleneagles Intan, anak lelaki Allahyarham, Asri, mengurut lengan dan membaca doa untuk bapanya yang tidak sedarkan diri.

Satu-satunya tanda yang beliau masih bernafas hanyalah paparan skrin tekanan darah dan pernafasan.

Ketika itu, anggota keluarganya menceritakan satu insiden, yang pada saya, menunjukkan siapa Ghafar sebenarnya.

Sebelum jatuh koma minggu lalu, Ghafar mengalami tekanan yang membimbangkan keluarga dan kakitangan perubatan. Tiada siapa tahu apakah perkara yang sangat merunsingkan beliau sehingga pihak hospital menghantar dua psikiatri untuk bercakap dengannya.

Dengan perlahan, bertutur dalam keadaan yang amat sukar dan di sebalik tiub yang membantu pernafasannya, Ghafar memberitahu mereka, beliau khuatir mengenai Umno, rakyat dan masa depan negara yang menghadapi pelbagai cabaran.

Di saat-saat akhir hayatnya pun, Ghafar masih lagi memikirkan nasib rakyat dan negaranya, bukannya keadaan beliau yang tenat itu.

Memang beliau sukakan golf. Beliau juga gemar bermain tenis dan meminati keroncong. Ketika zaman mudanya, Ghafar turut menggemari joget. Daripada semua itu, cinta beliau kepada negara, rakyat, bangsanya, Umno dan juga Barisan Nasional, melebihi segala-galanya.

Dalam era ramai yang berlumba-lumba mahukan gelaran Datuk, Tan Sri dan Tun, Ghafar tidak pernah berasa beliau berhak untuk diberi gelaran seperti itu serta n banyak kali menolak tawaran daripada Sultan dan Raja. Beliau lebih selesa bergelar Encik atau lebih mesra dengan gelaran Pak Ghafar sehingga bersara pada 1993.

Kesetiaan Ghafar kepada Umno dan negara, boleh dilihat melalui perjalanan kerjaya politiknya. Di sebalik naib presiden paling kanan dalam Umno apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia pada 1976, lalu diganti oleh Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, Ghafar tidak dilantik sebagai timbalan Perdana menteri. Jawatan itu diberikan kepada Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad.

Kononnya, ketiadaan kelayakan pendidikan dikatakan menjadi kriteria utama untuk tidak melantik beliau. Ghafar, kalau mahu, boleh menjadikan itu isu dan menarik sokongan kepadanya seperti dilakukan oleh ramai pemimpin politik.

Sebaliknya, Allahyarham melepaskan jawatan dalam Kabinet, memberi sokongan padu kepada Hussein dan Dr Mahathir serta tetap menjadi penyokong setia parti. Malah, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan bernada protes.

Pada 1985, apabila MCA berdepan dengan krisis kepemimpinan paling teruk dalam sejarahnya, Ghafar diminta menyelesaikannya dan beliau diterima oleh masyarakat Cina untuk sementara waktu mempengerusikan urusan dan menyelesaikan sebarang masalah dalam parti itu.

Setahun selepas itu, apabila Datuk (kini Tan Sri) Musa Hitam meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, yang menyebabkan Umno dilanda krisis, Ghafar sekali lagi diminta meninggalkan urusan perniagaannya dan berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tanpa banyak cakap, beliau menerima amanah itu.

Apabila Umno diisytiharkan sebagai pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi pada 1987 dan kebanyakan orang kuat parti itu keluar untuk menubuhkan kumpulan alternatif, Ghafar teguh berdiri di belakang Dr Mahathir, membina semula Umno daripada keadaan yang hampir berkecai. Beliau mengetuai kempen dalam pelbagai pilihan raya kecil menentang bekas pemimpin Umno ketika itu, sekali gus memastikan survival Umno.

Pada 1990, apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) bertindak keluar daripada Barisan Nasional (BN) di mana Ghafar adalah setiausaha agungnya yang pertama dan paling lama, untuk menyokong pembangkang menjelang pilihan raya, Allahyarham diberikan kepercayaan untuk membina Umno di negeri itu.

Beliau berjaya meyakinkan rakan lamanya, Tun Datu Mustapha Harun untuk membubarkan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), yang menjadi asas penubuhan Umno di negeri itu. Hari ini, Umno adalah menjadi parti politik paling kuat di negeri itu dan membantu Sabah menikmati kestabilan politik yang tidak pernah berlaku sebelumnya.

Ketika kerajaan menghadapi masalah dengan Raja-Raja Melayu dalam krisis Perlembagaan terburuk pada 1992, Ghafar sekali lagi, dengan kemampuan dan pendekatan lembutnya walaupun ketika berdepan dengan lawan paling keras, memainkan peranan menyelesaikan masalah itu.

Banyak pihak yang mengaku memainkan peranan penting dalam semua peristiwa ini tetapi hakikatnya ialah Ghafar, sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu, diberi kepercayaan penuh oleh ketuanya, Dr Mahathir, untuk menyelesaikannya.

Tidak seperti pemimpin seangkatannya ketika itu yang kandang kala agak kasar atau suka menunjuk-nunjuk, Ghafar kelihatan melakukannya dengan mudah. Ini kerana beliau mendapat kepercayaan mereka yang berurusan dengannya dan beliau tidak mempunyai agenda tersendiri, hanya agenda bangsa.

Barangkali, perkara paling buruk dialami Allahyarham ialah pada 1993 apabila mereka yang beliau asuh dan didik berpaling tadah menentangnya untuk mendapatkan kuasa dalam kempen yang dianggap terburuk dalam sejarah pemilihan Umno.

Ia adalah pada tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan untuk mencabar Tun Ghafar bagi jawatan Timbalan Presiden Umno. Tidak ramai yang tahu ketika itu Ghafar dua kali menawarkan diri untuk melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada Anwar untuk mengelakkan perpecahan dalam parti tetapi tawarannya ditolak.

Akhirnya, berlakulah kempen paling sengit yang menyaksikan Ghafar diserang dan dicemuh sama ada secara terbuka atau melalui media oleh mereka yang memihak kepada Anwar.

Begitupun, sepanjang masa sejak saya mengenalinya, Ghafar tidak pernah pernah menunjukkan rasa dendam atau marah kepada mereka yang mengaibkannya itu. Beliau hanya sedih dan musykil apakah dosanya sehingga diperlakukan sedemikian rupa.

Allahyarham adalah seorang yang pemaaf, bukannya pendendam. Dalam kata lain, beliau ialah seorang Melayu budiman dengan cara lama, sifat yang semakin berkurangan sekarang.

Saya pernah menyaksikan beliau memaafkan musuh dan pengkritiknya dengan mengawal kemarahan supaya tidak meluahkan kata-kata yang mungkin menyakitkan hati orang atau beliau sendiri dikesalinya nanti.

Pada 1995, apabila Ghafar semakin dilupai, kerajaan berhasrat memberi penghormatan kepadanya dan berusaha memujuknya supaya menerima anugerah tertinggi negara, Seri Setia Mahkota (SSM) daripada Yang di-Pertuan Agong, yang membawa gelaran ‘Tun’.

Beliau, yang masih tersinggung dengan peristiwa 1993, tidak menjawab panggilan dan lawatan pegawai daripada Pejabat Dr Mahathir. Kemudiannya, Setiausaha Agung Umno, Datuk (kini Tan Sri) Mohamed Rahmat meminta saya membantu.

Saya dan anak Ghafar, Sofi, pergi menemui Allahyarham untuk memujuknya menemui Mohamed. Kami memberitahu beliau bahawa apa pun, Dr Mahathir adalah Presiden Umno dan Perdana Menteri dan Mohamed adalah wakilnya. Ketika itulah, Ghafar kembali lembut - menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri dan Presiden Umno - dan bersetuju menemui Mohamed.

Selepas itu, kami membawa Mohamed dan Setiausaha Eksekutif Umno ketika itu, Datuk Yaakob Mohamad, menemui Ghafar. Walaupun terkilan dengan apa yang dilakukan terhadapnya, Allahyarham tidak sekali-kali menunjukkan rasa marah. Cuma beliau kelihatan sedikit diam di awal pertemuannya dengan Mohamed dan Yaakob.

Saya dimaklumkan oleh Sofi bahawa Ghafar bersetuju untuk berjumpa Dr Mahathir dan akhirnya menerima anugerah itu. Allahyarham menerimanya bukan kerana hendakkan gelaran, tetapi mahu mengurangkan rasa bersalah mereka yang menikamnya dari belakang pada 1993. Beliau mahu penerimaan anugerah itu menjadi penutup kepada apa yang berlaku.

Sepanjang 66 tahun menjadi sebahagian daripada perjuangan mencapai kemerdekaan dan 55 tahun menyertai Umno, Ghafar tidak sekali-kali menentang kerajaan atau partinya. Kesetiaan dan semangat patriotiknya kekal sehingga akhir hayat. Negara kehilangan seorang negarawan terulung. Al-Fatihah. – Berita Harian/Isnin 24 April 2006

Perginya Seorang Pejuang

Oleh: ZULKIFLI JALIL

KUALA LUMPUR 23 April - Negara hari ini meratapi pemergian seorang pemimpin yang menghabiskan hampir seluruh kehidupannya kepada perjuangan bangsa dan negara.

Kembalinya ke rahmatullah Tun Ghafar Baba, 81, di Pusat Perubatan Gleneagles Intan (GIMC) selepas 90 hari terlantar akibat komplikasi jantung, paru-paru dan buah pinggang bermakna negara kehilangan seorang pejuang yang bersikap sederhana.

Jalur Gemilang pada keranda Allahyarham serta penghormatan negara yang diberikan kepadanya merupakan pengiktirafan untuk negarawan yang banyak berjasa.

Ghafar yang disemadikan bersama tokoh negara lain di Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini meninggalkan catatan sejarah bukan sedikit dalam perkembangan politik dan pembangunan negara ini.

Allahyarham bukan sekadar pejuang kemerdekaan tetapi juga pengisi kepada kemerdekaan itu sendiri melalui sumbangannya dalam penubuhan dan menggerakkan agensi-agensi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Titisan air mata rakan-rakan seperjuangan termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam yang berasa sebak dengan pemergian Allahyarham jelas menunjukkan betapa mereka akan merasai kehilangan seorang pemimpin yang serba sederhana dalam pelbagai perkara.

Kepiluan ini turut dirasai oleh rakan-rakan yang pernah bersama-sama dengan Allahyarham seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Allahyarham mula mengorak langkah untuk memperjuangkan nasib bangsa dan negaranya, apabila melibatkan diri dalam politik pada tahun 1940 dengan menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Melaka ketika berusia 15 tahun.

Dari situlah bermulanya perjuangan Ghafar untuk menuntut kemerdekaan dan kemudiannya mengisi kemerdekaan dengan pelbagai sumbangan kepada parti dan negara.

Kira-kira 11 tahun kemudian, bintang politik Allahyarham semakin terserlah apabila memegang beberapa jawatan seperti Pengerusi UMNO Melaka, Pegawai Penerangan UMNO Malaya, Setiausaha Agung Barisan Nasional dan menjadi Naib Presiden UMNO.

Sikap kesederhanaan dan bijak berdiplomasi telah membolehkan Ghafar yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1986 menangani apa juga masalah sama ada politik atau pentadbiran negara secara tenang.

Sebagai seorang pejuang, Ghafar tidak pernah mengenal erti kekecewaan, apatah kemewahan.

Walaupun sudah menjadi Timbalan Perdana Menteri, kehidupan dan perwatakan Ghafar tidak pernah berubah.

Justeru ia bukanlah suatu yang luar biasa apabila Ghafar yang raut wajah serius tetapi mudah didampingi ini bekerja di bawah empat Perdana Menteri.

Allahyarham pernah melaungkan kemerdekaan bersama Tunku Abdul Rahman, berjuang meningkat taraf hidup orang Melayu terutama di kawasan luar bandar di bawah Tun Abdul Razak dan berganding bahu bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad menghadapi krisis politik dan pentadbiran negara.

Walaupun tidak berada dalam Kabinet hampir 10 tahun mulai 1976 namun keringat dan bakti Ghafar kepada parti dan negara tidak pernah `kering'.

Ketokohan dan kewibawaan Allahyarham sebagai seorang pejuang yang tidak mengenal erti putus asa terserlah apabila Allahyarham dipilih menjadi Presiden de facto MCA pada tahun 1985.

Kesederhanaan serta jiwanya yang lembut tetapi tegas telah memungkinkan Dr. Mahathir memilih Allahyarham menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986.

Sejak itu, sumbangan Ghafar kepada parti dan negara semakin memuncak, ini termasuklah merealisasikan penubuhan UMNO di Sabah.

Walaupun berundur secara sukarela pada tahun 1993 ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, ia bukanlah satu langkah `orang yang kecewa'.

Ghafar berundur demi menjaga kestabilan dan perpaduan parti, itu lebih penting daripada segala-galanya bagi Allahyarham.

Pemimpin dan ahli UMNO sudah pasti mengenang jasa Ghafar yang berjuang menghidupkan semula UMNO selepas diharamkan oleh Mahkamah Tinggi pada 1988 ekoran perpecahan akibat perebutan jawatan tertinggi parti pada Perhimpunan Agung UMNO 1987. UMNO pulih dan kembali stabil seperti hari ini antaranya juga disebabkan oleh perjuangan Ghafar tanpa mengira masa atau tenaga.

Ironinya, Ghafar disenangi kawan dan lawan politiknya sama ada dalam UMNO mahupun pembangkang.

Justeru tidak hairanlah, semua pemimpin tanpa mengira fahaman politik mengunjungi rumah Allahyarham sejak awal pagi lagi bagi memberi penghormatan terakhir.

Ghafar dikenali sebagai suara yang sentiasa peka dalam menyampaikan pandangan rakyat biasa dan rakyat bawahan ke peringkat atasan.

Bukan sekadar kerjaya politik. Allahyarham juga diingati kerana usahanya dalam memartabatkan ekonomi orang Melayu.

Antara sumbangan terbesar Ghafar ialah menubuhkan Amanah Saham Mara yang memperkenalkan orang Melayu kepada institusi pasaran saham dalam merubah tahap kehidupan mereka.

Kepada parti-parti komponen BN, mereka kehilangan seorang tokoh yang telah memperlihatkan kematangan serta sentiasa menyampaikan suara perimbangan dalam perkara-perkara menyentuh isu sensitif berkaitan agama, kaum, budaya dan bahasa.

Dan ungkapan Allahyarham `walaupun sudah menjadi pemimpin, kita jangan lupa asal usul kita, akar umbi kita' pastinya tidak akan dilupakan. Ghafar adalah seorang pemimpin dan pejuang yang sukar dicari ganti.

Sepertimana hujan renyai-renyai sebaik sahaja pengkebumiannya selesai kira-kira pukul 5.40 petang, begitulah juga jasa yang ditinggalkan oleh Allahyarham, ia akan terus `menyirami' negara ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.